Laman Utama  

EDITOR

Saya bersedia jadi PM jika ada sokongan - Wan Azizah

(Harakah) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bersedia dan sanggup memikul tanggung jawab sebagai Perdana Menteri jika mendapat sokongan wakil-wakil BN yang melompat parti khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau bagaimanapun tidak memaksa wakil-wakil rakyat BN di Sabah dan Sarawak untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya juga tidak pasti bila mereka akan menyertai Pakatan Rakyat," katanya ketika ditemui wartawan selepas sidang media atas kunjungan bapa Altantuya Shaariibuu di pejabatnya semalam.

Katanya mereka yang hendak lompat parti dan mahu menyertai Pakatan Rakyat hendaklah dengan niat untuk meninggalkan parti perkauman serta mahu menegakkan keadilan.

Kelmarin ketua umum KeADILan Dato' Seri Anwar berkata, beberapa ahli parlimen BN di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya pertengahan September.

Anwar berkata, apabila ahli Parlimen Sabah menarik diri dari Barisan Nasional (BN) pada malam ini, esok juga BN akan tumbang dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi akan jadi Ketua Pembangkang.

Sebelum itu, Wan Azizah turut menggesa Perdana Menteri Abdullah Badawi dan Menteri Luar menjawab surat Perdana Menteri Mongolia berhubung perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Wan Azizah berkata, semalam bapa Altantuya, Dr. Shaariibuu Setev mengadakan kunjungan untuk bertemu dengannya dengan membawa hasrat kerajaan Mongolia dan rakyat negara itu tentang ketelusan dan keadilan Malaysia dalam kes anaknya itu.

Tegasnya, Malaysia harus dilihat sebuah negara yang adil khususnya dalam kes ini sekali gus meletakkan imej Malaysia di mata dunia.

"Kita mestilah dilihat sebuah negara yang adil dan saksama dan menjamin keadilan itu sebagai asas negara kita.

"Persoalanya kenapa surat daripada Perdana Menteri Mongolia dan Menteri Luar negara itu kepada PM kita tidak terjawab sehingga kini," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Sementara itu, Shaariibuu yang turut sama dalam sidang media kesal dengan sikap kerajaan Malaysia yang seolah-olah melengah-lengahkan perbicaraan kes mendiang anaknya.

"Banyak kali saya datang ke Malaysia dan mahu mengikuti perbicaraan, tetapi mahkamah menangguhkan perbicaraan itu atas alasan banyak kes perlu dikendalikan," katanya.

Tegasnya, kemelut yang berlaku ini bukan atas dasar peribadi tetapi ianya juga membabitkan hubungan dua buah negara iaitu Malaysia dan Mongolia.

"Jika Malaysia tidak adil dalam kes anak saya dan tidak respons surat berkenaan kerajaan Mongolia tidak teragak-agak akan memutuskan hubungan dengan Malaysia," katanya.

Shaariibuu tiba di negara ini kelmarin, bagi mengikuti perbicaraan ke atas dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh model kelahiran Mongolia berusia 28 tahun itu.

 

 

DUN N19 Bukit Antarabangsa
  EMAIL: EDITOR N19BA
Copyright 2008  N19 BUKIT ANTARABANGSA. All rights reserved.