Laman Utama  

EDITOR

KeADILan kesal Parlimen membelakangkan soal jawab lisan pembangkang

KUALA LUMPUR, 30 April (Harakah) - KeADILan melahirkan kekesalan dengan pengurusan serta pentadbiran Parlimen Malaysia yang tidak mengiktiraf dan menghormati kedudukan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Dalam satu kenyataan media, Naib Presiden KeADILan, Mohd Azmin Ali tidak berpuas hati dengan sesi soal jawab lisan Dewan Rakyat yang membelakangkan ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Ia seolah-olah menunjukkan pihak pentadbiran parlimen memberikan keutamaan kepada pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan BN," ujarnya.

Menurutnya, pentadbiran Parlimen telah gagal menunjukkan ketelusan dan keadilan jika diteliti bilangan ahli parlimen Pakatan Rakyat (pembangkang) yang berjumlah 82 orang berbanding 77 ahli parlimen ahli penyokong BN.

"Melihatkan kepada nisbah ini, kita patut ada 52 peratus. Dan BN hanya 48 peratus. Jadi kalau mereka boleh uruskan sepuluh soalan, maksudnya kita patut dapat sekurang-kurangnya enam (soalan), berbanding mereka empat." katanya.

Kebiasaannya, Dewan Rakyat hanya dapat melayan 10 pertanyaan jawab lisan sehari dalam tempoh yang diperuntukkan.

Mohd Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak, berkata wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat diberikan sedikit sahaja peluang bertanyakan soalan.

"Sekarang saya melihat, daripada 10 soalan, kami hanya diberi dua. Ini tidak adil," katanya Jumaat lalu.

"Kedua, mereka patut beri keutamaan pada ketua pembangkang. Soalan pertama pada hari itu patut diberikan kepada ketua pembangkang dan ini tidak dilakukan. Soalan daripada Dr Wan Azizah (Wan Ismail) berada di nombor ketiga. Jadi ini tidak adil.

"Saya tidak tahu apa peranan (Dato' Seri) Nazri (Aziz) dalam memutuskan urutan soalan. Tetapi saya rasa Speaker Dewan Rakyat patut memainkan lebih peranan untuk memastikan kita melindungi kebebasan parlimen," katanya.

Justeru, KeADILan menggesa Yang diPertua Dewan Rakyat yang baru agar memainkan peranan sebenar Parlimen ke arah mengembalikan kebebasan institusi Parlimen dan memandu perjalanan persidangan berdasarkan lunas perlembagaan dan prinsip keadilan.

Parti itu juga akan mengatur pertemuan dengan YDP Dewan Rakyat dengan segera bagi membincangkan hal tersebut seterusnya menyelesaikan isu yang berbangkit. - mks.

 

 

 

 

DUN N19 Bukit Antarabangsa
  EMAIL: EDITOR N19BA
Copyright 2008  N19 BUKIT ANTARABANGSA. All rights reserved.