|
|
|
Pemerintahan 100 hari: Beza PR dan BN terlalu jauh |
|
Mohd Sabri Said
Mon | Jun 09, 08 | 12:50:34 pm MYT
BUTTERWORTH, 9 Jun (Hrkh) - Perbezaan 100 hari pemerintahan Barisan
Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) di lima buah negeri selepas
pilihan raya umum ke-12 lalu jelas ketara sekali kata, Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.
BN ujarnya, terus memperkenalkan sikap penindasan manakala PR lebih
cenderung membantu meringankan masalah yang dihadapi rakyat.
Beliau ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP),
Butterowrth semalam menegaskan, walaupun rakyat memberi isyarat kepada
BN agar lebih berhati-hati memimpin negara namun kemenangan yang
dikecapi tidak langsung mengambarkan mereka akan berubah.
Sebaliknya, terus menghukum rakyat yang memberi ruang kepada
kepimpinan pembangkang untuk ke parlimen sekaligus menghalang usaha BN
memperolehi kemenangan dua pertiga.
"Jurang antara pemerintahan BN dan PR jelas sekali berbeza. BN
mengekalkan dasar penindasan manakala PR cuba memberikan perkhidmatan
terbaik dengan menengahkan konsep kesederhanaan kepada rakyat, "
jelasnya.
Tambahnya, sejak bulan pertama kemenangan BN mereka asyik bercakaran
sesama sendiri tanpa memikirkan penyelesaian berbagai gejala
kemungkaran.
Bulan kedua isu beras melanda negara sehingga kepimpinan BN menyeru
rakyat makan ubi kayu atau kentang bagi mengantikan beras yang semakin
kurang.
Bulan ketiga pula berlaku kenaikan harga barang dan terbaru minyak
yang mana menerima kenaikan sehingga 78 sen bagi petrol dan RM1.00
bagi diesel iaitu kenaikan paling tinggi dalam sejarah Malaysia.
"Kerajaan BN serba salah untuk berhadapan dengan rakyat. Lain yang
tertera dalam manifesto lain pula yang menjadi amalan, " tegas beliau.
Bagi PR pula sejak bulan pertama hingga sekarang semua kerja
ditumpukan untuk membaiki urus tadbir hasil peninggalan kerajaan
terdahulu.
Bulan kedua mula merancang berbagai agenda seperti menambah elaun
guru-guru Kelas Fardhu Ain (KAFA), menurunkan hasil tanah, memberikan
geran tanah, menambah keluasan tanah sawah dan sebagainya.
Bulan ketiga rata-rata lima negeri sedang berusaha menarik pelabur
negara asing supaya yakin dengan kebolehan pembangkang memerintah.
Hasilnya kini sudah ada yang berani tampil bekerjasama dalam banyak
perkara.
"PR pula kena bermula daripada asal kerana banyak dokumen penting
kerajaan terdahulu dihilangkan. Tetapi kini, semuanya dalam proses
perkenalan kepada pelaburan asing untuk membuka ruang kepada mereka
untuk memajukan negeri masing-masing. Lain pula di Kelantan mereka
teruskan usaha meningkatkan prestasi pembangunan rakyat setelah
mendapat mandat baru memerintah, " kata Azman seterusnya.
Kemungkinan berlaku sekali lagi kenaikan harga minyak sebanyak RM4.10
berbanding RM2.70 sekarang ini menjelang bulan Ogos depan.
Oleh itu, rakyat harus menilai di mana kecemerlangan BN selama ini
yang mengamalkan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang walhal
kepimpinan negara acapkali bertindak sebaliknya.
Turut berceramah sama pada majlis Nakba Palestin anjuran Dewan Pemuda
PAS Negeri dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan itu ialah
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid dan
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Hafiz Noordin. - mks. _ |
|
|
|