Laman Utama  

EDITOR

Demi perjuangan, Raja Petra enggan dijamin, pilih masuk penjara

PETALING JAYA, 6 Mei (Hrkh) - Pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin enggan membayar ikat jamin RM5,000 yang mengakibatkan beliau dipenjarakan di Sungai Buloh sehingga tarikh kesnya bermula.

Beliau yang ditemani isterinya Marinah Lee, akan dibicarakan pada pada 6 hingga 10 Oktober depan di Mahkamah Seksyen di sini.

Menurut salah seorang peguambela William Leong, Raja Petra meminta rakyat negara ini yang menyokong prinsip demokrasi agar menyumbang RM1 setiap seorang bagi menjelaskan ikat jamin tersebut.

Katanya apabila ditemui di luar mahkamah, Raja Petra mengharapkan sokongan daripada rakyat, memandangkan apa yang dibuat itu semata-mata untuk rakyat.

Selepas tarikh perbicaraan ditetapkan, Raja Petra yang masih dalam kandang tertuduh dilihat menghulurkan kedua-dua tangannya manakala salah satu tanganya memegang kad pengenalan kepada anggota polis.

Bagaimanapun anggota polis meminta beliau bertenang supaya memberi laluan kepada wartawan untuk beredar dari mahkamah.

Raja Petra yang dibawa keluar melalui pintu belakang mahkamah kemudian dimasukkan ke dalam lokap mahkamah sebelum trak polis sampai untuk dibawa ke Sungai Buloh.

Sebelum itu, Raja Petra diminta menyerah diri di kompleks mahkamah Jalan Duta pada jam 9.30 pagi ini untuk menghadapi tuduhan menghasut berhubung artikel yang ditulis dalam blognya.

Bagaimanapun, ketika beliau sedang menunggu di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur beliau menerima panggilan telefon dari pihak polis kira-kira jam 10.20 pagi supaya hadir di mahkamah Petaling Jaya.

Artikel tersebut didakwa mengaitkan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dalam pembunuhan seorang wanita muda Mongolia.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menyiarkan artikel berunsur hasutan pada 25 April dalam Malaysia Today.

Kertas pertuduhan itu memuatkan sembilan perenggan dalam artikelnya yang didakwa berunsur hasutan.

Pendakwaan dibuat oleh timbalan pendakwaraya Nordin Hassan manakala Raja Petra diwakili oleh sepasukan enam peguambela yang diketuai oleh Karpal Singh.

Turut hadir ialah pemimpin Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Ronnie Liu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta beberapa orang pengendali blog.

Pada 25 April, Raja Petra menyiarkan satu artkel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' dalam blognya, Malaysia Today. Artikel itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes berprofail tinggi itu. Najib kemudiannya menafikan perkara itu melalui setiausaha akhbarnya, Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad. Rosmah juga telah menafikan dakwaan terhadapnya itu. - mr

DUN N19 Bukit Antarabangsa
  EMAIL: EDITOR N19BA
Copyright 2008  N19 BUKIT ANTARABANGSA. All rights reserved.