Laman Utama  

EDITOR

Azmin: "Anwar memang baik dengan Wolfowitz tapi..."

Oleh Utusan, Jumaat, 16 Mei 2008

KL: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali hari ini tidak menafikan dakwaan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir bahawa Penasihat parti itu mempunyai hubungan baik dengan perancang utama pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq, Paul Wolfowitz.

Beliau berkata, namun persahabatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Wolfowitz yang juga seorang Yahudi itu digunakan bagi menegaskan mengenai soal keadilan dan kebenaran.

''Kita desak supaya tentera AS diundurkan dari bumi Iraq, kita desak pengagihan bantuan tsunami di Acheh dilakukan dengan adil dan kita desak nama ulama tersohor, Dr. Yusof Qardhawi dibersihkan daripada disenaraihitamkan.

''Saya nak tanya pemimpin UMNO mana yang berani mendesak Presiden George Bush bersihkan nama Qardhawi.

''Malah kerajaan sanggup tidak menerima kehadiran Menteri Luar Palestin dari Hamas kerana desakan AS. Jadi UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya tunduk kepada AS dan Yahudi, bukan Anwar," katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz yang dibuat sewaktu perbahasan menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang mengaitkan Anwar sebagai agen Yahudi berikutan hubungan baiknya dengan Wolfowitz.

Mukhriz dalam ucapannya Isnin lalu mendedahkan hubungan akrab Anwar dengan bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan AS itu hingga Anwar dilantik menjadi Pengerusi sebuah yayasan yang diterajui Wolfowitz yang juga dikatakan penganut fahaman neo-konservatif.

Menurut Azmin, kenyataan Mukhriz itu secara jelas boleh dilihat sebagai mewakili apa yang hendak disampaikan oleh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

''Itu bukan ucapan dia (Mukhriz), tetapi ucapan bapa dia kerana bapa dia tak dapat masuk Parlimen dia gunakan anak dia untuk lempar tuduhan ini,'' katanya.


 

DUN N19 Bukit Antarabangsa
  EMAIL: EDITOR N19BA
Copyright 2008  N19 BUKIT ANTARABANGSA. All rights reserved.