Laman Utama  

EDITOR

Dakwa cuba disogok: KeADILan Sabah buat laporan polis

Nabila Abdullah
Sun | May 18, 08 | 12:44:22 pm MYT

KOTA KINABALU, 18 Mei (Harakah) - Ketua Angkatan Muda KeAdilan Sabah (AMK), Abdul Razak Jamil membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan yang mendakwa kononnya cuba disogok 'duta kecil' pembangkang negeri itu.

Laporan polis dibuat 16 Mei lalu pada jam 3.00 petang di Balai Polis Karamunsing.

Abdul Razak diiringi Ketua Pemuda PAS negeri, Anuar Ali, Setiausaha Pemuda PAS negeri, Lahirul Latigu, Ketua Bahagian KeADILan Kota Belud, Jalumin Samin, bekas Timbalan Ketua Bahagian KeADILan Kimanis, Suliawan Alladad, Mantan Setiausaha AMK, Ramlan Naim dan Pengerusi Persatuan Orang Sungai, Ahmad Abdul.

Menurut Abdul Razak, AMK Sabah mahu polis menyiasat kebenaran dakwaan Abdul Rahman di bawah Kanun Keseksaan Akta 574 dan Akta Pilihanraya kerana yakin ianya satu fitnah kepada parti pembangkang Sabah.

Beliau yang juga seorang peguam berpendapat Abdul Rahman telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Rasuah kerana gagal melaporkan cubaan merasuah itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Saya mencabar Abdul Rahman untuk mendedahkan siapa 'duta kecil' yang menawarkan jutaan ringgit untuknya menyertai Pakatan Rakyat.

"Tindakan Abdul Rahman sebenarnya menunjukkan BN gelabah dengan penerimaan positif masyarakat terhadap Pakatan Rakyat lantas cuba memberikan gambaran negatif Pakatan Rakyat di mata rakyat," katanya.

Abdul Rahman baru-baru ini mendakwa parti pembangkang yang terdesak untuk menjatuhkan kerajaan BN sanggup menawarkan ganjaran besar 'yang boleh memberi kesenangan hidup kepada dua tiga generasi' jika beliau melompat parti.

Pemimpin Pemuda Umno itu juga mendakwa telah dikunjungi 'duta kecil' pembangkang minggu lalu serta minggu sebelumnya, yang cuba memujuknya menyertai Pakatan Rakyat dan dijanjikan sejumlah wang serta kedudukan dalam kerajaan.

Sebelum ini, pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, mendakwa 30 Ahli Parlimen BN, kebanyakannya dari Sabah akan menyertai mereka bagi membolehkan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. - tajdid

 

 

DUN N19 Bukit Antarabangsa
  EMAIL: EDITOR N19BA
Copyright 2008  N19 BUKIT ANTARABANGSA. All rights reserved.